Saturday, August 28, 2010

Pertumbuhan dan perkembangan

Pertumbuhan dan perkembangan manusia atau penyuburan adalah fokus kajian bidang psikologi perkembangan. Ahli psikologi perkembangan mengkaji aspek-aspek pertumbuhan dan perkembangan manusia dan cuba melihat kaitannya dengan faktor yang mempengaruhinya iaitu baka dan persekitaran. Kedua-dua ini berkait rapat antara satu dengan lain.

Konsep Pertumbuhan

Pertumbuhan bermaksud perubahan yang boleh dinilai dan diukur secara kuantatif dari satu peringkat ke satu peringkat perkembangan yang lain (Atan Long, 1978). Perubahan biasanya adalah perubahan fizikal yang melibatkan pertambahan kuantiti iaitu misalnya perubahan dari segi berat badan, tinggi dan pertambahan saiz badan. Contohnya pertambahan berat badan kanak-kanak dati 10 kilogram semasa berumur 2 tahun dan menjadi 12 kilogram semasa berumur 3 tahun (Lefrancois, 1990).

Pertumbuhan juga proses perubahan struktur dan fisiologi yang berlaku dalam diri seseorang contohnya tulang-tulang rangka badan (skeleton) bertambah jumlahnya semakin individu membesar dan juga terjadi pertambahan panjang tulang-tulang dari satu peringkat perkembangan yang lain dan pertambahan panjang ini akan terhenti bila pertumbuhan seseorang menjadi matang iaitu ketika dia remaja ( Ramlan Jantan & Mahani Razali, 2002).

Konsep Perkembangan

Perkembangan ialah perubahan yang bersifat kualitatif. Sifat perubahan ini tidak dapat diukur tetapi jelas berlaku jika dibandingkan dengan peringkat yang lebih awal (Atan Long, 1980). Contohnya perubahan pada rambut manusia daripada berwaran hitam semasa remaja menjadi putih pada peringkat akhir dewasa.

Paul Eggan & Don Kauchak (1997) mengatakan ” the concept of development, the orderly, durable change in a learner resulting from a combination of learning, experience, nd maturation.” Jelas, Paul Eggan dan Don Kauchak berpendapat perkembangan adalah perubahan yang berturutan dan kekal dalam diri seseorang hasil daripada kematangan, pembelajaran dan pengalaman (Ramlan Jantan & Mahani Razali, 2000).

Slavin (1997) juga berpendapat perkembangan adalah berkaitan dengan mengapa dan bagaimana individu tumbuh dan membesar, menyesuai diri kepada persekitaran dan bagaimana berubah melalui peredaran masa. Ringkasnya menurut Slavin, perkembangan ialah Orderly and lasting growth, adaptation, and change over the course of a lifetime.” (Ramlan Jantan & Mahani Razali, 2000).

Perkembangan juga merupakan satu proses yang kompleks yang merangkumi perubahan secara kuantitatif dan kualitatif dari segi fizikal, perceptual, intelektual, bahasa, emosi, social dan moral seseorang individu (Berk, 2000).

Semua perkembangan sama ada berbentuk fizikal, tingkah laku ataupun sahsiah adalah mengikut beberapa aturan semula jadi dan sifat-sifat yang sejagat.

Secara ringkasnya perkembangan merupakan pengaliran yang saling berkait antara perubahan kuantatif dengan kualitatif yang menuju kearah tertentu dan yang dijangkakan.

Prinsip-prinsip pertumbuhan dan perkembangan

  1. Pertumbuhan berlaku dalam dua arah : dari atas ke bawah dan dari tengah ke tepi
  2. Pertumbuhan struktur badan mendahului kemahiran fungsinya.
  3. Perkembangan motor kasar berlaku terlebih dahulu daripada motor halus.
  4. Corak pertumbuhan dan perkembangan adalah sama tetapi kadarnya adalah berbeza pada setiap individu.
  5. Pertumbuhan berlaku hingga satu tahap, tetapi perkembangan berlaku secara berterusan hingga akhir hayat.
  6. Pertumbuhan dan perkembangan saling berinteraksi. Pertumbuhan jasmani yang kurang sihat boleh menjejaskan perkembangan rohani, emosi dan sosial.
  7. Ciri-ciri pertumbuhan dan perkembangan boleh ditentukan mengikut peringkat-peringkat tertentu.
  8. Perkembangan mental bermula daripada konkrit kepada abstrak
  9. Perkembangan daripada egosentrik kepada menerima pandangan orang lain.

Konsep semula jadi dan pemupukan (Nature Vs Nurture)

Faktor semula jadi atau faktor pemupukan, manakah faktor yang paling mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan manusia? Persoalan ini telah menjadi perdebatan yang tiada kesudahannya. Pada masa sekarang tidak ada jawapan yang tepat mengenai persoalan ini. Alasannya ialah bergantung kepada beberapa. Pada satu pihak banyak ciri-ciri manusia dipengaruhi oleh keturunan. Contohnya warna mata anda dipengaruhi oleh keturunan(lebih kurang 90 peratus). Dengan itu, kita boleh katakan bahawa sebahagian besarnya dipengaruhi ileh keturunan berbandingan dengan faktor persekitaran. Namun begitu ketinggian juga boleh dipengaruhi oleh pemakanan, hormon-hormon pertumbuhan dan intervensi persekitaran yang lain. Ciri-ciri yang lain seperti pembawaan dan perasaan malu adalah sangat dipengaruhi oleh perwarisan.

Pemupukan (persekitaran) dimana seseorang individu itu membesar dan berkembang adalah memainkan peranan yang penting dalam membentuk diri dan tingkah laku seseorang individu itu. Contohnya dari mula lahir sehingga berumur 8 tahun, persekitaran sangat penting. Banyak faktor-faktor persekitaran memainkan peranan penting dalam perkembangan awal kanak-kanak termasuk pemakanan, kualiti persekitaran, rangsangan otak hubungan kasih sayang dengan keluarga atau ibu bapa dan peluang-peluang pembelajaran. Keluarga, sekolah, masyarakat dan rakan sebaya juga memberi kesan kepada perkembangan (Morrison , 2001) menyatakan faktor semula jadi dan pemupukan adalah sama penting untuk pertumbuhan dan perkembangan yang normal. Interaksi di antara kedua-dua faktor ini telah menjadikan manusia seperti diri kita pada hari ini (Morrison,m.s:193- 195)


No comments: